Saya merujuk kepada artikel BH yang bertajuk “Asal Usul Bangsa Melayu” (17 Januari 2012). Di dalam artikel yang ringkas itu, penulis telah membuat beberapa statement yang bagi saya memerlukan penjelasan dan penilaian yang lebih lanjut.
Menurut Ibnu Sina dalam karya tersohornya mengenai ilmu logik yakni Isharat Wa Tanbihat, beliau telah menggariskan beberapa syarat dan panduan dalam membuat suatu pentakrifan yang sah. Takrif ‘takrif’ ialah sesuatu frasa yang melambangkan esensi sesuatu benda. Justeru, takrif Melayu yang sah adalah takrif yang melambangkan esensi orang Melayu ataupun the “the essence of the Malay race”, yang harus memuatkan semua sifat-sifat yang dikongsi secara bersama oleh bangsa Melayu (genus) dan juga sifat-sifat yang membezakan bangsa Melayu dari bangsa-bangsa yang lain (differentia).
Namun, dalam artikel itu, penulis telah mengemukakan beberapa takrif orang Melayu yang alternatif, yakni takrif dari segi antropologi, etnologi dan budaya, tanpa membuat penilaian terhadap mana takrif yang lebih sah daripada takrif-takrif yang ada, seakan-akan memberitakan kepada kita bahawa esensi itu tiada wujud dan yang wujud hanya pendapat-pendapat yang berbeza dan saling bercanggahan antara satu sama lain. Ternyata bahawa statement seperti ini bukan statement yang saintifik kerana ia seakan-akan menafikan kemungkinan kita untuk mencapai ilmu mengenai hakikat bangsa Melayu (sophistry); statement yang sarat dengan pegangan puak-puak Sufasta’iyah (Sophists). Dalam erti kata lain, penulis seakan-akan ingin memberitakan bahawa tiada takrif yang benar, dan ini sesuatu perkara yang bercanggah dengan logik, kerana jika kebenaran itu dinafikan maka kebenaran mengenai kebenaran yang dinafikan itu juga harus turut dinafikan.
Ada juga statement lain yang bersifat paradoks yang dikemukakan, seperti “Ini menunjukkan orang Melayu tidak berasal dari mana-mana, tetapi berasal dan berkembang di Nusantara”. Bukankah Nusantara itu sebagai suatu kawasan turut dirangkumi dalam istilah ‘mana-mana’?
Jika pentakrifan dari sudut antropologi, etnologi dan budaya itu benar, maka apakah buktinya? Kalau sekadar memuatkan pendapat-pendapat dan kepercayaan individu-individu tertentu , yang dikira sebagai “di kalangan bijak pandai dan pakar kaji masyarakat” tanpa mengemukakan kriteria yang objektif yang boleh diterima bersama untuk menggolongkan seseorang itu sebagai bijak pandai dan pakar kaji masyarakat, belum boleh diterima sebagai bukti. Tambahan pula, ada pendapat-pendapat yang dikongsi boleh digolongkan sebagai falasi (fallacy) bila dinilai dari segi logik. Contohnya, takrif bangsa Melayu dari segi lahiriah itu agak kontroversial, kerana sifat lahiriah itu secara jelas bukan esensi.
Statement “dari sudut mana pun ditakrifkan, mereka mempunyai sejarah panjang” itu juga harus dipersoalkan, kerana jelasnya pentakrifan itu akan menjejas pensejarahannya. Jika pentakrifan bangsa Melayu dari antropologi itu dianggap sah, maka harus dikenalpasti bilakah orang Negrito, Melayu Proto dan Melayu Deutro itu dianggap sebagai bangsa Melayu, dan dengan demikian periode ‘sebelum Melayu’ itu tidak boleh digolongkan sebagai sejarah bangsa Melayu.
Secara tuntasnya, penulis harus memberikan hujah dan bukti yang bukan sahaja dapat meyakinkan pembaca untuk menerima pentakrifannya, bahkan turut juga memberikan hujah dan bukti untuk menolak takrif-takrif yang lain, kalau ingin dianggap hujahnya sebagai ilmiah dan saintifik.
0 comments:
Post a Comment